08 May 2016

Q&A : Periodontal tisu dan penyakit


1.0 APAKAH ITU PERIODONTAL TISU/PERIODONTIUM?

Periodontium merujuk kepada tisu sekeliling yang menyokong gigi di dalam mulut. Gigi terdiri kepada 2 bahagian iaitu korona/crown dan akar gigi.

Struktur periodontium terbahagi kepada empat iaitu:

  • Gingiva: gusi yang menyeliputi akar gigi dan tulang rahang.

  • Cementum: satu lapisan berwarna kekuningan yang membaluti akar gigi.

  • Ligamen periodontal (periodontal ligament): tisu kenyal yang menghubungkan akar gigi dengan tulang. Juga bertindak sebagai penyerap impak (impact absorber) supaya gigi anda tidak berlaga dengan tulang semasa anda makan.

  • Tulang alveolar (alveolar bone): Tulang di sekeliling gigi anda.

 

2.0 APAKAH PENYAKIT GUSI?

 Penyakit gusi adalah keradangan pada tisu dan struktur periodontium, iaitu struktur yang menyokong gigi kita. Secara umum, terdapat dua jenis penyakit gusi :-

 

o   Gingivitis: keradangan HANYA pada gusi.

-          Gusi berwarna merah, mudah berdarah dan bengkak, mulut berbau

 

o   Periodontitis: keradangan pada gusi dan juga struktur periodontium yang lain.

-          Gusi bengkak kemerah-merahan, berdarah dan kadang-kadang bernanah, gigi longgar dan bergerak, mulut berbau busuk, gusi menyusut dan gigi kelihatan panjang, sakit, rasa sensitif

 



gusi yang sihat

  
 

gingivitis

periodontitis
 

    

 
 
 
 
 
 
3.0 APAKAH PUNCA PENYAKIT GUSI

Penyakit gusi terjadi akibat pengumpulan plak di kawasan gigi dan gusi. Ini merupakan punca utama untuk masalah di dalam mulut.

Tetapi, terdapat juga beberapa faktor sistemik yang dikaitkan dengan penyakit periodontitis yang kronik. Namun begitu, harus diingati bahawa faktor sistemik selalunya hanya akan membuatkan penyakit gusi yang sedia ada bertambah buruk, bukannya punca penyakit gusi bermula.

 

o    Merokok

o    Kencing manis.

o    Darah tinggi.

o    Mengandung

o    Diet tinggi kandungan gula.

o    Tekanan perasaan.

o    Sistem pertahanan badan yang lemah

 

4.0 APAKAH PLAK GIGI?

Plak adalah satu lapisan nipis bakteria atau kotoran yang melekat pada permukaan gigi. Plak terhasil daripada pengumpulan berjuta-juta bakteria yang berada dalam mulut. Bakteria ini akan menghasilkan racun/toksin yang menyebabkan keradangan pada periodontal tisu. Pada awalnya plak ini biasa berwarna putih, tetapi lama-kelamaan jika dibiarkan lama tidak dibersihkan ia akan berwarna kuning dan mengeras. Plak yang keras dipanggil karang gigi atau tartar.

Kadang-kadang plak juga banyak ditemui pada gusi ataupun lidah. Plak gigi tidak boleh dibersihkan dengan hanya kumur mulut sahaja, tetapi mesti diberus setiap hari.


plak gigi
karang gigi
 

5.0 ADAKAH PENYAKIT GUSI BOLEH DIRAWAT?

Biasanya penyakit gusi tidak boleh dirawat, kerana struktur periodontium yang telah rosak tidak boleh diperbaiki atau tumbuh semula. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh dikawal untuk mengelakkan ia jadi semakin teruk. Rawatan yang boleh dilakukan ialah

o   Penskaleran secara berkala / scaling

o   curettage

Kesihatan gigi yang baik perlu dicapai melalui amalan :

  • Penjagaan kebersihan mulut yang baik dengan:
    • Berus gigi sehingga bersih
    • Gunakan flos
    • Berkumur-kumur dengan ubat kumur
  • Makan secara sihat dan hadkan pengambilan makanan ringan yang manis
  • Tidak merokok
  • Pemeriksaan gigi secara berkala (6 bulan sekali)

Dapatkan nasihat daripada doktor pergigian jika masalah masih berterusan.