17 September 2017

ADUH, GIGI SAKIT!!!

              
Sakit gigi yang sangat kuat, berdenyut, bengkak serta mungkin bernanah merupakan gejala yang disebabkan oleh jangkitan kuman atau keradangan pada tisu pulpa dalam salur akar gigi.

 Ianya tidak dapat dirawat hanya dengan rawatan tampalan atau ubat-ubatan hingga akhirnya menyebabkan gigi tersebut dicabut. Penggunaan ubat tahan sakit hanyalah penyelesaian sementara. Punca sakit gigi itu sendiri harus ditangani dan dihapuskan dengan rawatan spesifik yang akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh doktor gigi anda.



Sedikit info mengenai struktur gigi : 

Keratan rentas gigi sebenar


Enamel

Bahagian luar gigi dilapisi oleh Enamel dan juga merupakan tisu yang terkeras di dalam tubuh badan. Bahagian korona gigi adalah bahagian gigi yang dapat dilihat di dalam mulut. 

Dentin

Sebahagian besar tisu gigi terdiri daripada dentin. Dentin menyokong enamel yang meliputi bahagian korona gigi dan ia juga membentuk bahagian akar gigi. Tambahan lagi, dentin mengelilingi dan melindungi pulpa.


Pulpa

Pulpa ialah tisu lembut yang terkandung dan dikelilingi oleh dentin. Dengan bekalan salur darah dan salur saraf, sistem immunasi dan sistem menjana semula, ia mengekalkan kehidupan dentin. 


Sebab-sebab utama radang pulpa adalah:

Karies gigi.

Karies gigi yang dibiarkan untuk tempoh panjang sehingga mencapai tahap kronik adalah sebab utama anda sakit gigi. Tanpa rawatan yang sepatutnya, karies akan merebak ke pulpa. Pulpa yang terkesan teruk akibat karies ini akan mati, lalu kuman karies akan merebak melalui saluran akar dan menyebabkan terjadinya abses (pembentukan nanah). Abses boleh menyebabkan kebengkakan dan sakit berdenyut-denyut yang berterusan sehinggalah rawatan yang sesuai diberikan.

Gigi retak (cracked tooth).

Retakan pada gigi muncul dengan satu jaluran retak yang halus yang kadang-kadang tidak kelihatan pada mata kasar. Jika doktor anda mengesyaki gigi anda sakit kerana retak, terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk mengesahkan keadaan ini.

Tampalan lama yang telah longgar, pecah atau tercabut.

Setelah beberapa tahun, tampalan lama pada gigi mungkin akan mengalami sedikit kerosakan. Ia mungkin pecah sedikit di bahagian tepi, longgar atau tertanggal daripada gigi. Semua keadaan ini boleh menyebabkan ‘kebocoran’ yang boleh membuka jalan kepada kuman untuk masuk ke dalam gigi dan menyebabkan jangkitan atau karies.

Gusi mengecut (receding gum).

Akibat penyakit gusi kronik, gusi boleh mengecut dan mendedahkan bahagian akar gigi. Bahagian akar gigi lebih sensitif kepada perubahan haba/suhu berbanding bahagian korona, jadi gigi mungkin akan terasa ngilu setiap kali anda cuba menikmati minuman berais. Terdedahnya akar gigi juga bermakna akar cenderung kepada pembentukan karies yang seterusnya boleh menyebabkan kesakitan.


Gejala sakit gigi yang kuat boleh dirawat tanpa mencabut gigi tersebut tetapi melalui rawatan kanal akar.

Rawatan kanal akar 

juga dikenali dengan rawatan salur akar atau 'rawatan endodontic' merupakan rawatan bagi gigi yang telah mengalami kerosakan teruk akibat jangkitan kuman selain dapat terus mengekalkan fungsi gigi tersebut.


Kepentingan rawatan kanal akar adalah untuk memastikan gigi yang sakit dapat diselamatkan, mengelakkan kesakitan gigi bertambah teruk dan memastikan tidak berlaku jangkitan pada gigi atau ke bahagian lain seperti mata, leher dan struktur penting yang lain dalam badan manusia.




Prosedur Rawatan Salur Akar

1 Rawatan ini mungkin memerlukan satu hingga dua atau lebih temu janji bergantung kepada tahap kerumitannya.

2 Radiograf periapikal (X-ray) gigi akan diambil sebelum rawatan bermula. Ini adalah untuk melihat bilangan dan keadaan akar gigi yang bermasalah tersebut.


        3      Bahagian enamel dan dentin gigi akan dibersihkan dahulu di mana
     karies dibuang, seterusnya tisu pulpa yang reput akan dibuang dari kanal
     akar dan kanal dibentuk dan dibersihkan dengan bahan disinfeksi. Apabila 
     selesai proses pembersihan, ubat dimasukkan ke dalam kanal akar dan 
     kaviti pada bahagian korona gigi ditutup dengan tampalan sementara.

4 Pada lawatan seterusnya, kanal akan dibersihkan semula dan ditampal dengan bahan tampalan akar (Gutta Percha) jika tiada sebarang tanda dan gejala

5 Gigi akan ditampal tetap selepas rawatan kanal akar selesai.




Penjagaan gigi selepas rawatan salur akar yang perlu diamalkan ialah dengan sentiasa berjumpa doktor gigi untuk melakukan pemeriksaan secara berkala. Seeloknya 6 bulan sekali, ataupun setahun sekali. Penjagaan gigi di rumah juga adalah penting untuk memastikan gigi yang telah dirawat tidak rosak semula. 

1 Berus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari dengan ubat gigi berflourida.

2 Kurangkan kekerapan pengambilan makanan manis terutamanya di antara waktu makan.

        3 Penggunaan tambahan penjagaan gigi iaitu floss dan ubat kumur untuk memastikan kebersihan mulut sentiasa dalam keadaan optimum.